GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan RM946,560 untuk bekalan makanan bagi membantu masyarakat Orang Asli yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan ancaman haiwan liar.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, sebanyak 6,750 bakul makanan disediakan bagi tempoh dua tahun bermula hujung Oktober 2023 sehingga September tahun ini untuk penduduk Orang Asli di Kelantan dan Terengganu yang terjejas.
Katanya, pembekalan bakul makanan itu berdasarkan permohonan serta bergantung kepada situasi yang dialami masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, kes kecemasan, penularan wabak dan keperluan komuniti setempat.
“Biasanya kita dapatkan laporan daripada penduduk dan membuat siasatan berdasarkan aduan, selepas itu barulah kita membuat penghantaran bakul.
“Proses penghantaran bergantung kepada situasi semasa, kalau tiada halangan biasanya dalam tempoh tiga hari bantuan boleh sampai,” katanya selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di Padang Kompleks Perdana di sini, hari ini. – UTUSAN