KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mempersoalkan tindakan tertuduh warga Israel, Avitan Shalom yang memohon khidmat jurubahasa Ibrani pada saat akhir.
Hakim Norina Zainal Abidin membuat teguran pada perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula semalam.
“Masa yang diambil adalah hampir sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu anda diwakili oleh peguam. Isu jurubahasa tidak pernah dibangkitkan atau dibawa ke perhatian mahkamah sama sekali semasa pengurusan kes.
“Hasrat anda untuk meminta jurubahasa telah dibawa kepada mahkamah pada saat akhir iaitu pada hari pertama perbicaraan yang sepatutnya dimulakan (semalam),” katanya.
Pada kali pertama Avitan didakwa di mahkamah pada 8 April 2024, pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Inggeris dan prosiding berikutnya juga berlangsung dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
Pada prosiding hari ini, Avitan, 39, mengekalkan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Terdahulu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh membantah cadangan untuk meneruskan prosiding tanpa kehadiran jurubahasa Ibrani.
“Mengikut Seksyen 270 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa ia adalah tugas mahkamah untuk memastikan apa-apa keterangan diberikan dalam bahasa yang tidak difahami oleh tertuduh hendaklah ditafsirkan kepadanya dalam bahasa terbuka,” katanya.
Norina kemudian memutuskan perbicaraan ditunda sehingga Isnin hadapan selepas mempertimbangkan hujahan ringkas peguam itu.
“Adalah hak tertuduh untuk menerima tafsiran dalam bahasa yang difahaminya. Mahkamah akan memberikan satu lagi peluang untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani. Oleh itu, kes ini ditangguhkan pada 13 Januari dan dijadualkan berlangsung selama tiga minggu.
“Mahkamah juga akan memaklumkan sama ada jurubahasa Ibrani dapat disediakan kepada pihak-pihak berkaitan melalui e-mel pada Jumaat ini,” kata Norina.
Selain itu, Norina berkata, sekiranya jurubahasa Ibrani tidak dapat ditemui, kedua-dua pihak perlu bersedia untuk meneruskan perbicaraan dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan maksimum enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini. – UTUSAN