JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn. Bhd., Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya, Azura Md. Yusof yang difailkan pada 30 Oktober tahun lalu.
Permohonan tersebut dibuat bagi mencabar penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) sebelum ini selepas dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata, kedua-dua pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah, sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik.
“Mahkamah ini membenarkan bantahan awalan dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan mewakili responden. Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus di failkan pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar,” katanya.
Sementara itu, peguam responden, Datuk Rosli Kamaruddin ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan tentang keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, minggu depan.
“Kita juga akan memfailkan permohonan jaminan melibatkan semua tahanan yang layak, iaitu wanita dan golongan lelaki yang sakit serta uzur. Permohonan jaminan ini termasuk bagi CEO GISBH dan isterinya. Permohonan akan dibuat untuk mahkamah timbangkan budi bicara sama ada benarkan jaminan atau sebaliknya,” katanya.
Pada prosiding hari ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Zain Ibrahim dan Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.
Selain Rosli, pemohon turut diwakili barisan peguam, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Mohamad Suhaimi dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan 19 individu lain kerana kes berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024. – UTUSAN