SHAH ALAM: Perjalanan Arrora Salwa dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) terhenti apabila penyanyi itu diumumkan tersingkir pada minggu ke-8.
Arrora yang membawakan lagu Cinta Hanya Sandaran dipopularkan Siti Nordiana gagal menambat hati juri sekali gus berada pada kedudukan tercorot.
Penyanyi tinggi lampai yang ditemui selepas konsert itu malam tadi memaklumkan telah bersedia lebih awal berdepan penyingkiran.
“Alhamdulillah, setiap minggu mental saya sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan.
“Setiap minggu, saya akan katakan kepada diri sendiri bahawa, minggu ini adalah yang terakhir. Sebab itu saya sedia bila diumumkan tersingkir minggu ini.
“Mungkin penyingkiran ini memudahkan untuk saya teruskan dengan perancangan yang kedepan,” katanya.
Konsert GV minggu ke-8 juga menyaksikan kumpulan The Lima merampas kedudukan pertama dengan markah 74.40.
Kemenangan itu melayakkan kumpulan itu merangkul Anugerah Terpaling Adabi dan membawa pulang RM2,000.
GV11 diteruskan pada konsert minggu ke-9 pada Ahad minggu hadapan bertemakan Mendonia.
Lapan peserta seterusnya berdepan cabaran baharu menyanyikan lagu penyanyi antarabangsa dan bakal bersaing menerusi persembahan duet sebagai tugasan kedua.
GV11 dijurikan Datuk Ramli M.S, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Program hiburan popular yang ditayangkan secara langsung di Astro Ria itu dihoskan Nabil Ahmad dan Sherry AlHadad.