Guru sekolah rendah didakwa amang seksual murid perempuan 

Guru sekolah rendah didakwa amang seksual murid perempuan 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap murid perempuan di sebuah sekolah di Pasir Gudang, di sini awal bulan ini.

Tertuduh, Aaron Wong Cheng Wen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk badan dan mencium pipi kanan dan kirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 10.30 pagi di dalam bilik stor, kelas reka bentuk dan teknologi, di dalam sekolah tersebut, 1 Januari ini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah untuk menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga selesai, melapor diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

Tertuduh yang berpendapatan RM6,000 sebulan memohon jaminan yang rendah kerana menanggung ibu bapa yang tidak bekerja selain komitmen kewangan yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tersebut. Tarikh 27 Februari depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya