PETALING JAYA: Seorang guru dari Bera, Pahang, menjadi jutawan apabila menang cabutan hadiah utama 2025 Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat bernilai RM1 juta.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, guru berkenaan, Hazrul Ikram Pahroraji, 45, dipilih sebagai pemenang utama cabutan akaun pelaburan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM5.8 juta.
Sementara itu, pemenang kedua, Noor Afidah Mohammad Isa dari Selangor, membawa pulang hadiah emas seberat 500 gram.
Manakala empat pemenang tempat ketiga masing-masing menerima hadiah emas seberat 100 gram, iaitu Radiah Jusoh dari Kelantan, Muhammad Al Hafiz Abd Gafar dan Tan Moi Kia dari Johor, serta Aifa Nadhirah Muhammad Sazri dari Pulau Pinang.
Ahmad Shahril berkata, tahun ini, Bank Rakyat menyasarkan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM700 juta, lebih tinggi daripada sasaran awal pada tahun pertama produk tersebut dilancarkan.
“Menerusi tawaran lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus adalah sebahagian daripada usaha Bank Rakyat untuk memastikan pelanggan dapat meraih manfaat yang maksimum daripada produk pelaburan yang selamat dan patuh syariah,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kejayaan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus ini mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat dalam menyediakan produk patuh Syariah yang inovatif dan bermanfaat.
Jelasnya, produk tersebut juga dapat membantu memupuk tabiat melabur dan menyimpan dalam kalangan masyarakat bagi memenuhi komitmen kewangan mereka.
“Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan inklusif serta kemakmuran ekonomi masyarakat Malaysia.
“Justeru, besarlah harapan kami agar pelanggan serta masyarakat di luar sana akan terus memberikan sokongan berterusan terhadap pelbagai tawaran produk serta kempen yang dianjurkan oleh Bank Rakyat bagi merebut manfaat dan ganjaran termasuk pulangan tinggi yang ditawarkan,” katanya. – UTUSAN