Guru didakwa cabul dua pelajar lelaki

Guru didakwa cabul dua pelajar lelaki

TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 16 tahun, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Fuad Abd. Wahab, 33, mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki dengan cara meraba kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8 pagi dan 11.30 malam di tiga lokasi berbeza iaitu dalam bilik pengawas blok A aras satu sebuah sekolah menengah, dalam kereta tertuduh dan dalam bilik sebuah rumah di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 1 November 2022 hingga 18 September 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azfar Mahmud dan Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh dalam prosiding masing-masing merayu anak guam mereka dikenakan jaminan rendah dengan alasan bergaji rendah selain menyara ibu bapa yang sakit.

Kedua-dua hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan memerintahkan lelaki itu hadir pada setiap sebutan kes.

Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya