PETALING JAYA: Modus operandi klinik swasta yang membuat pengguguran janin secara haram boleh mendatangkan komplikasi besar kepada si ibu, termasuklah kematian jika menyebabkan pendarahan secara berpanjangan.
Bagaimanapun, perkara ini tetap menjadi pilihan kepada mereka yang terdesak kerana menganggap ia sebagai ‘jalan singkat’ untuk menyelesaikan masalah kerana tidak mahu menambah ‘bebanan’ berikutan kos sara hidup yang semakin terhimpit pada ketika ini.
Tindakan itu juga sekali gus meningkatkan peratusan sebelum ini, di mana Malaysia mencatatkan jumlah keperluan perancang keluarga tidak dipenuhi yang agak tinggi iaitu sekitar 26.7 peratus pada 2022.
Ia bermaksud lebih satu daripada lima wanita di Malaysia yang belum bersedia untuk hamil enggan menggunakan sebarang kaedah kontraseptif moden untuk merancang kelahiran bayi mereka.
Dalam hal ini, Naib Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Wan Noorasmara Mohd. Nor berkata, permasalahan tersebut tidak boleh disifatkan sebagai perkara kecil, sekali gus ia perlu ditangani secara serius oleh semua pihak kerana pengguguran tidak sesekali dibenarkan kerana melanggar peraturan dalam perundangan Malaysia melainkan sebab-sebab perubatan.
“Antara risiko lain yang boleh berlaku kepada si ibu adalah prolaps rahim iaitu rahim tergelincir ke dalam dan kebiasaannya ia boleh berlaku apabila menggugurkan kandungan secara haram. Selain daripada itu, ia juga mampu menyebabkan berlaku parut dalam bahagian rahim si ibu yang menyebabkan keguguran yang berulang khususnya yang membuat pengguguran secara haram, kesannya si ibu sukar untuk mengandung.
“Sebab itu, klinik swasta tidak dibenarkan untuk melakukan proses pengguguran kecuali ada surat kebenaran yang ditandatangani oleh dua orang pakar. Perkara itu tertakluk untuk hospital pakar swasta Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan klinik swasta memang tidak boleh membuat sebarang pengguguran kandungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan terdapat pusat perubatan yang berselindung di sebalik nama ‘hospital bersalin didapati menjalankan prosedur menggugurkan kandungan secara tidak sah.
Dengan hanya mengenakan bayaran RM1,500, klinik ini dikatakan telah beroperasi sejak 10 tahun lalu tanpa diketahui pihak berkuasa, malah menjadi ‘pilihan’ pesakit dalam kalangan wanita yang terdesak menggugurkan kandungan mereka sama ada sudah berkahwin atau di luar pernikahan.
Dalam hal ini secara dasarnya, pengguguran janin menyalahi undang-undang di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan (pindaan – 1997).
Bagaimanapun, fasal pengecualian telah ditambah kepada Seksyen 312 dimana dua orang pakar perubatan O&G yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh menamatkan kehamilan seorang wanita jika boleh meningkatkan risiko kepada nyawa wanita tersebut, atau membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kesihatan mental atau fizikal jika tidak digugurkan.
Memperincikan perkara tersebut, Wan Noorasmara turut berkata, terdapat sebab-sebab lain di mana pengguguran dibenarkan bagi menyelamatkan nyawa si ibu, namun perkara tersebut akan dibincang bersama doktor pakar sebelum prosedur tersebut diteruskan.
“Contoh jika ibu mengalami kencing manis yang tidak terkawal atau tekanan darah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan risiko sawan dan ibu mungkin mati jika diteruskan kandungan, maka doktor pakar akan selamatkan ibu dengan menggugurkan anak dalam kandungan.
“Contoh kedua pula, jika pakar membuat imbasan anomali (detail scan) dan mendapati fetus ada kecacatan yang berat dan tiada peluang hidup spt tiada tempurung kepala, satu mata, tiada lubang hidung dan lain-lain maka pakar nasihatkan ibu tersebut untuk gugurkan kandungan,” ujarnya.
Katanya lagi, prosedur menggugurkan kandungan juga perlu dibuat di hospital kerana mempunyai fasiliti yang lengkap.
“Di Malaysia ini ada dua kaedah untuk menggugurkan kandungan iaitu menggunakan tablet dan kaedah cuci rahim atau Dilation and Curettage (D&C) yang kadang-kala boleh menyebabkan kecederaan di bahagian rahim.
Bila berlaku pendarahan sehingga boleh menyebabkan kematian, akhirnya si ibu ini boleh diibaratkan sebagai ‘mati katak’ kerana menanggung risiko sendiri bila menggugurkan janin di klinik swasta secara haram,” ujarnya.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu. Daripada jumlah itu, seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Kata Wan Noorasmara lagi, situasi itu juga turut menjadi penyumbang kepada peningkatan untuk menggugurkan kandungan di klinik-kinik swasta secara haram. – UTUSAN