KUALA TERENGGANU: Anak syarikat Terengganu Incorporated, GPQ Sdn. Bhd, memenangi kontrak mega pembangunan Quran Village untuk membina masjid kariah dan pelbagai infrastruktur lain bernilai RM78.38 juta di kawasan seluas 2.83 hektar di Presint 14, Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd., Noor Mohd. Suhaimie Ismail berkata, Quran Village adalah projek yang dimiliki oleh Perbadanan Putrajaya yang bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di kawasan itu apabila siap kelak.
Katanya, pelaksanaan projek itu adalah salah satu inisiatif penting syarikat berkenaan dalam memperkuku kehadirannya di Lembah Klang dan langkah strategik untuk menembusi pasaran di luar Terengganu.
“Projek pembinaan mengambil masa 36 bulan untuk pembangunan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027. Projek ini diharap mencetus hala tuju baharu GPQ sebagai kontraktor berpotensi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN