SEREMBAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima tiga representasi yang dikemukakan oleh tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang dihadapi oleh mereka.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim, Surita Budin memaklumkan representasi yang diterima melibatkan tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21.
Menurut Rasyidah Murni, representasi tersebut telah dikaji dan diteliti di peringkat tertinggi dan pihak pendakwaan telah menerima untuk menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377 E Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun seorang lagi tertuduh, Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23, kekal dengan pertuduhan sedia ada di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berikutan tidak mengemukakan representasi.
Dalam pada itu, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili keempat-empat tertuduh memaklumkan beliau memohon masa kepada mahkamah untuk berbincang lanjut dengan keluarga anak guam berkaitan hukuman atau apa-apa perintah.
Mahkamah Sesyen Seremban kemudian menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula status kes sama ada pihak peguam meneruskan dengan pertuduhan pilihan dan hukuman alternatif yang ditawarkan atau sebaliknya.
Bagi seorang lagi tertuduh iaitu Ahmad Nadzful turut ditetapkan tarikh sama bagi serahan laporan perubatan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan laporan tersebut tidak dapat diserahkan kepada pihak pembelaan pada prosiding hari ini.
Pada 19 September tahun lalu, media melaporkan tiga lelaki yang sebelum ini ditahan dalam Op Global yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah madrasah di Kuala Pilah di antara tahun 2022 sehingga 2023.
Keesokan harinya, seorang lagi pembantu pengajar di madrasah berkenaan, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, didakwa atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sekitar tahun 2023.
Pertuduhan ke atas semua mereka dibuat di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan terhadap kesemua pertuduhan, masing-masing tertuduh boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga disebat. – UTUSAN