SHAH ALAM: Perjalanan Eylia Guntabid dalam program Calpis Soda One In A Million (OIAM) terhenti malam tadi apabila dia diumumkan tersingkir.
Penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu itu menjunam ke kedudukan paling corot sekali gus terpaksa meninggalkan lima peserta lain yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir.
Eylia berkata perasaannya bercampur baur ketika diumumkan sebagai peserta tersingkir malam tadi.
”Sedih kerana meninggalkan kawan-kawan dan aktiviti-aktiviti yang disertai sepanjang pembabitan dalam program ini.
”Gembira sebab saya sudah berikan persembahan terbaik dengan Khai Bahar meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak memgizinkan,” katanya.
Eylia pada konsert OIAM malam tadi bergandingan dengan Khai membawakan lagu Dua Insan Bercinta yang dipopularkan Ella.
Juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim berpandangan kecacatan kecil terhadap nyanyian Eylia menyampaikan lagu berkenaan mendorong pemarkahannya pada konsert tersebut.
“Markah kedua-dua peserta yang berada pada kedudukan dua paling bawah (bottom two) minggu ini tidak jauh beza.
“Pada saya Eylia penyanyi yang tenikal, dan pemilihan teknik nyanyiannya untuk lagu tersebut hampir tepat.
“Apa pun saya bersertuju dengan pandangan juri yang lain bahawa dia tidak sepatutnya menggunakan teknik falsetto di penghujung lagu berkenaan.
”Mungkin itu yang menyebabkan nyanyiannya kurang meninggalkan kesan. Apa pun, rezeki masing-masing untuk layak atau tidak (mara ke peringkat seterusnya), ianya adat pertandingan,” katanya.
Lima peserta yang mara ke pusingan separuh akhir minggu hadapan adalah Kai Deva, Mariam, Jimi, Zazleen, Marygrace.
Selain Yusry, Calpis Soda One In A Million menampilkan Ziana Zain dan Chakra Khan sebagai juri tetap, manakala Alif Satar sebagai juri jemputan malam tadi.