PETALING JAYA: Kekal menjadi sorotan, kini giliran adik pelawak, Along Cham, Aurel Yana pula bersuara membongkar isu penyelewengan sumbangan yang dipercayai hasil komplot beberapa pihak bersama kakak iparnya, Afreena Suhaimi.
Tidak berdiam di situ, Aurel turut menyelar kenyataan sokongan pempengaruh, Siti Jamumall yang mempercayai Afreena telah ditipu oleh individu yang bernama Ika.
“Awak mahu ke saya bagi bukti apa komplot dia dengan Ika dan dua orang lagi kawan-kawan Afreena?
“Nak ke saya bagi bukti macam mana mereka ganggu saya, ibu dan adik saya? Bukti macam mana dia sanggup terpacak depan pejabat peguam untuk sebarkan fitnah dan cerita palsu ke atas suami dia dan ahli keluarga kami?,” katanya menerusi komen ditinggalkan dalam Instagram.
Bagaimanapun, Aurel berharap usahawan tersebut tidak terus terpedaya dan menyelidik terlebih dahulu kesahihan kenyataan Afreena berhubung kes penipuan tersebut.
“Tolong jangan malukan diri sendiri dengan merisikokan diri atas pembelaan yang langsung tidak berasas takut kena angkut masuk dalam kandang sebagai saksi,” jelasnya.
Dalam hantaran tersebut, Aurel turut mendakwa kakak iparnya mengetahui punca pelawak tersebut ditahan pihak berkuasa secara tiba-tiba selain mempercayai perkara itu mempunyai kaitan dengan hasrat abangnya ingin mengesahkan taklik terhadap Afreena.
“Kami berhabis berpuluh ribu sepanjang siasatan kes ini dan dia sendiri tahu macam mana dan kenapa abang saya ditangkap tiba-tiba selepas abang saya sedar taklik yang dilanggarnya sebanyak tiga kali sepanjang perkahwinan mereka.
“Tidak sempat 24 jam bagi tahu nak sahkan taklik kena angkut, sekarang barang satu rumah dia licinkan (ambil) selepas abang saya pulang semalam (kelmarin). Sila jelaskan ada ke orang yang di pihak benar lari kelam kabut macam ini?
“Untuk pengetahuan, Ika dan dua lagi rakan subahat Feena turut hadir di mahkamah semalam (kelmarin), tiba-tiba hari ini nama Ika dipetik. Permainan sudah berakhir Feena, sudah-sudahlah,” ujarnya.
Aurel juga memaklumkan bahawa mereka sekeluarga juga mempunyai bukti kukuh bagi mengesahkan dakwaan tersebut selain tidak akan membuat tuduhan tanpa asas.
Terdahulu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya menyeleweng dana sumbangan orang awam serta rakan artis membabitkan jumlah hampir RM100,000.
Difahamkan, wang berkenaan digunakan untuk menguruskan pelawak terbabit sepanjang ditahan di Penjara Sungai Buloh, selain perbelanjaan harian anak lelaki itu, Ahmad Daniel.
Susulan itu, Afreena membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang mendakwa menjadi mangsa scammer bernama Ika selepas menyalurkan wang sebanyak RM95,180 bagi membantu suaminya yang ditahan polis.-UTUSAN