Gerak hati Asri bantu selamatkan rakan

Gerak hati Asri bantu selamatkan rakan

MUHAMAMD Asri Rosli (tengah) bersama ahli keluarganya semasa menerima Pingat Hang Tuah sempena sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERANIAN dan tindakan pantas Muhammad Asri Rosli, 15, telah menjadikannya seorang ikon inspirasi bagi generasi muda.

Baru-baru ini, Muhammad Asri menerima Anugerah Pingat Hang Tuah pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) , Kuala Lumpur, hasil keberaniannya menyelamatkan seorang rakan yang terkena renjatan elektrik.

Kisah keberanian Muhamamd Asri bermula pada 2 Oktober lalu ketika dia sedang bermain sepak takraw bersama rakan-rakannya di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung, Selangor.

Muhammad Asri berkata, dia mengambil tindakan menyelamatkan rakannya kerana tergerak hati untuk membantu apabila melihat kawannya mula berada dalam keadaan yang tidak menentu dan membimbangkan.

Katanya, tindakan tersebut didorong oleh rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap sahabat rapatnya.

“Semasa saya dan rakan mahu mengambil bola di lokasi kejadian, saya lihat dia yang sedang memegang besi dalam keadaan bergetar. Saya tarik dia beberapa kali sebelum tangannya terlepas daripada besi itu. Selepas itu, saya terus memeluknya dan merasa ada aliran elektrik pada badannya. Saya juga terus membawanya ke bilik guru pendidikan jasmani.

“Saya tak mahu melihat dia mengalami kecederaan yang lebih teruk. Sebagai sahabat, saya rasa bertanggungjawab untuk membantunya dalam keadaan darurat seperti itu. Kami sudah lama berkawan, jadi saya tidak sanggup membiarkan sesuatu yang lebih buruk terjadi,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, dia tidak pernah menerima sebarang latihan formal mengenai pengendalian elektrik. Namun, dengan sifatnya yang suka membantu, dia memberanikan diri untuk menolong rakannya.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberikan banyak pengajaran berharga kepadanya, di samping mengukuhkan impiannya untuk bergelar seorang tentera.

“Jangan abaikan apabila melihat orang dalam kesusahan. Hulurkan bantuan secepat mungkin kerana saya percaya kepada peribahasa, ‘buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat’.

“Pingat Hang Tuah ini menjadi inspirasi terbesar dalam hidup saya kerana ia telah mengubah diri saya daripada seorang yang kurang peduli terhadap kesusahan orang lain, kepada individu yang lebih prihatin dan empati,” katanya yang merupakan pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya (SMKTBR1), Selayang.

Keberanian Muhammad Asri yang dilahirkan di hospital Selayang dan dibesarkan Taman Bunga Raya wajar diteladani.

Keberanian Muhammad Asri akhirnya diiktiraf dengan anugerah berprestij itu yang disertakan dengan hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan, dan trofi.

Sementara itu, ibunya, Zuraini Harun, 50, meluahkan rasa bangga terhadap Asri kerana tindakannya yang luar jangkaan sebagai seorang anak.

Menurutnya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekolah yang sama berkata dia sentiasa mendidik Asri untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa membantu adik-adiknya.

“Asri dilahirkan di Hospital Selayang sebagai kembar tiga, dan dia adalah kembar yang pertama. Oleh itu, saya sering menasihatinya bahawa sebagai abang, dia perlu menjaga adik-adiknya serta menunjukkan teladan yang baik.

“Harapan saya agar (Muhammad) Asri terus maju pada masa hadapan dan mengekalkan sikap suka membantu mereka yang lebih memerlukan,” katanya yang berasal di ibu negara.

Mengulas lanjut, Zuraini berkongsi bahawa sebagai seorang ibu tunggal, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam membesarkan anak-anaknya.

Cabaran tersebut semakin berat apabila membesarkan anak kembar, terutama dengan keperluan untuk sering berulang-alik ke hospital akibat masalah kesihatan yang dihadapi oleh adik kembar Asri.
“Saya pernah datang ke hospital dengan hanya berbekalkan RM10, tetapi Alhamdulillah, doktor sangat memahami dan membantu dari segi kewangan. Saya bersyukur dengan anak-anak saya dan berharap mereka semua membesar dengan sihat dan berjaya,” katanya.

Zuraini turut berkongsi tentang hubungan rapat antara adik-beradik dalam keluarga mereka.

Keakraban itu terserlah apabila salah seorang abang Asri sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani Asri ke WTC bagi menerima Pingat Hang Tuah.

“Abangnya betul-betul mahu bersama-sama meraikan saat bersejarah ini. Dia ingin memastikan Asri mendapat sokongan penuh daripada keluarga,” kata Zuraini. Namun, dalam kegembiraan itu, Zuraini tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu apabila mengenang pemergian suaminya.

“Ayahnya pasti bangga jika dia masih berada di sini. Ayah Asri meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Selayang. Sebelum itu, arwah juga mengalami masalah buah pinggang dan pernah terlibat dalam kemalangan,” tambahnya.

Dengan keberanian yang luar biasa pada usia muda, Muhammad Asri adalah simbol harapan bahawa setiap individu, tidak kira usia, mampu membuat perubahan yang besar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya