Geng Nguyen aktif curi pengunjung pusat beli belah tumpas

Geng Nguyen aktif curi pengunjung pusat beli belah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegiatan licik Geng Nguyen yang aktif mencuri telefon bimbit iPhone pengunjung pusat beli belah di Lembah Klang tumpas selepas empat individu termasuk dalangnya dicekup polis, baru-baru ini.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga warga Vietnam dan seorang warga Jordan berusia 31 hingga 62 tahun itu ditahan dalam serbuan di Serdang, 25 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki Vietnam manakala seorang lagi lelaki Jordan.

 “Serbuan itu turut merampas sebanyak 13 telefon bimbit termasuk 12 daripadanya adalah merupakan iPhone. 

“Semakan mendapati suspek terlibat dalam  kes di enam daerah iaitu Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

 Menurut Hussein, kumpulan itu diketuai wanita Vietnam berusia 40-an manakala lelaki Jordan berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa ahli kumpulan ke lokasi sasaran.

“Suspek utama itu dikesan memasuki Malaysia pada Disember tahun lalu sebelum pulang ke negaranya selepas seminggu. Namun, wanita itu didapati masuk semula pada 17 Januari lalu dan melakukan jenayah berkenaan dalam tempoh seminggu,” ujarnya.

Kata beliau, geng itu bergerak secara berkumpulan dengan menyasarkan mangsa yang memiliki telefon bimbit terutama iPhone. 

“Mangsa yang sedang membeli pakaian akan dialihkan perhatian sebelum suspek  mengambil telefon itu dan diserahkan kepada rakan mereka. Kita percaya suspek bergerak aktif di pusat beli belah dan telefon itu dipercayai dijual semula di Vietnam dengan harga sekitar RM3,000,” katanya.

Tambah Hussein, kes disiasat mengikut Seksyen 340 dan 379 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya