PETALING JAYA: Perjanjian gencatan senjata Hamas dan Israel disambut baik Malaysia, Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) dengan harapan keamanan dapat terus dikekalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak berasa lega apabila terdapat kesediaan Israel dan Hamas untuk mencari pendamaian.
Namun, beliau berkata, apa yang paling penting sekarang adalah usaha membangunkan semula Gaza yang hampir musnah seperti padang jarak padang tekukur
“Maknanya (gencatan senjata) dapat menghentikan serangan ganas, zalim Israel ke atas Gaza. Bagi kita, itu kesan dia..
“Sekarang ini tanggungjawab bersama membangunkan semula Gaza, ” kata beliau yang sebelum itu menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience’ di College of Europe (COE) yang terletak kira-kira 98 kilometer dari Brussels, Belgium.
Terdahulu, Anwar turut bertemu Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan Malaysia-Belgium, meningkatkan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas yang juga Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP) sebelum disusuli pertemuan empat mata dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa. – UTUSAN