PUTRAJAYA: Gangguan operasi semasa Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ini tidak akan menjejaskan perjalanan perwakilan serta delegasi asing ke Kepengerusian ASEAN – Malaysia 2025.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, beberapa kemudahan lain telah disediakan untuk perwakilan serta delegasi rasmi ASEAN termasuk pengangkutan khusus.
“Beberapa kemudahan telah disediakan termasuk pengangkutan khusus dari pintu kapal terbang dan juga laluan khas. Jadi saya lihat dari segi itu tidak berlaku masalah yang terlalu besar, malah kita berikan kemudahan yang lebih,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, bagi persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pula, beliau pasti akan ada lebih banyak kemudahan disediakan kelak selain Aerotrain itu.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, proses penyelesaian projek Aerotrain masih di peringkat ujian pelbagai fasa.
Beliau dilaporkan berkata, kontraktor yang terlibat sedang melaksanakan ujian dinamik dan beberapa ujian lain.
“Walaupun sebelum ini mereka memberikan gambaran bahawa ia boleh siap pada 31 Januari tetapi setakat ini mereka belum berikan tarikh yang tetap atau tarikh tertentu untuk Aerotrain (beroperasi),” katanya.
Aerotrain, sistem transit automatik yang beroperasi di KLIA menjadi tulang belakang pengangkutan dalaman lapangan terbang sejak mula beroperasi pada 1998.
Namun, dengan usia perkhidmatan melebihi dua dekad, sistem ini semakin kerap mengalami gangguan teknikal.
Pada tahun lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah untuk menggantikan sistem Aerotrain yang lama dengan sistem baharu. – UTUSAN