Merujuk kepada kamus Dewan dan Pustaka usahawan ialah individu yang mengusahakan sesuatu perusahaan atau menjalankan sesuatu perniagaan. Melangkah ke era yang lebih canggih, ramai individu yang memilih untuk bekerja sendiri dengan menjalankan perniagaan dalam talian berbanding dengan kerja makan gaji.
Walaubagaimanapun, apabila terlalu banyak individu yang mula berniaga, secara tidak langsung kadar persaingan menjadi semakin tinggi. Setiap pengusaha harus berfikir dengan lebih kreatif agar boleh bersaing dengan yang lain. Inovasi adalah kunci utama dalam memastikan kelangsungan perniagaan.
Inovasi dalam keusahawanan memainkan peranan yang sangat penting. Kepentingan inovasi yang paling ketara adalah meningkatkan daya saing. Inovasi membolehkan pengusaha memperoleh kelebihan berbanding pesaing mereka. Produk atau perkhidmatan yang unik dan berbeza akan berjaya menarik perhatian pelanggan. Walaupun mereka menjual produk yang sama, inovasi membezakan produk tersebut secara keseluruhannya.
Selain itu, inovasi dapat membantu peniaga memenuhi permintaan pelanggan.
Secara umumnya, kesemua spesifikasi produk adalah sama yang menyebabkan pelanggan sukar untuk membuat pilihan kerana tiada Faktor X pada setiap produk tersebut. Setiap pelanggan mempunyai citarasa yang berbeza, oleh itu, faktor unik yang melekat pada sesuatu produk itu akan memudahkan pelanggan membuat keputusan untuk membelinya.
Pengusaha yang konsisten dalam menghasilkan inovasi akan mendahului pesaing yang lain dan mendapat tempat teratas.
Inovasi pada sesuatu produk juga dapat mengurangkan kebergantungan pengusaha pada pasaran luar. Inovasi yang dihasilkan di dalam negara juga kadangkala lebih baik berbanding produk import tersebut.
Secara tidak langsung, peniaga dapat menghadapi cabaran dan persaingan dengan lebih baik. Jika pengusaha terus konsisten dengan ciri inovasi dalam perniagaan mereka, tidak mustahil produk tersebut dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Secara keseluruhannya, perniagaan yang berkembang dengan inovasi adalah lebih cenderung untuk bertahan dalam menghadapi sebarang krisis dan ketidakstabilan ekonomi kerana mereka telah membina satu daya tahan yang kuat yang mampu berdiri teguh secara sendiri.
Sebab itu syarikat saya Zull Design Autoronic menawarkan latihan kepada pelajar yang berminat menceburi bidang keusawanan inovasi bagi membantu pelajar yang berminat dalam reka cipta dan inovasi sebagai cabang kerjaya akan datang. – UTUSAN
Zulkifli Haron ialah Pengasas Zull Design Autotronic.