KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian gajah tanpa kepala dan kaki berhampiran Maliau Basin di Kalabakan, Tawau semalam.
Pengarah JHL Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan bangkai gajah tanpa kepala dan siasatan berkaitan kes itu dijalankan segera
“Memang laporan itu betul. Kami juga menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi jabatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, satu video penemuan bangkai gajah tanpa kepala dan kaki tular dalam laman media sosial.
JHL Tawau sebelum ini memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai penemuan bangkai gajah berkenaan.
Kes kematian gajah yang terbaharu dilaporkan berlaku pada Disember tahun lalu di sebuah ladang di Lahad Datu. – UTUSAN