PETALING JAYA: Permohonan perintah larangan bersuara (gag order) yang dikeluarkan bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu Titah Adendum tidak sepatutnya dilakukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau sebagai pengamal undang-undang berpandangan isu itu akan akan menjadi dokumen awam dan akan dibincangkan di Parlimen bulan depan.
“Pada pandangan saya, tidak sepatutnya dibuat gag order kerana pertama, ia akan menjadi dokumen awam.
“Kedua, Parlimen akan bersidang pada bulan depan dan semua ini pastinya akan dibangkitkan semula,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Politic Financial International Conference 2025, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan gag order bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang ditemui di lobi mahkamah memberitahu media pihaknya akan memfailkan perkara itu pada 20 Januari ini.
Ditanya alasan permohonan itu, Shamsul memaklumkan ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Kata Azalina, bagaimanapun Jabatan Peguam Negara mungkin mempunyai alasan undang-undang tertentu untuk membuat permohonan berkenaan.
“Apabila (permohonan itu) dihantar kepada mahkamah, kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan kita hormati keputusan itu,” katanya. – UTUSAN