BATU PAHAT: Seorang gadis yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Tropika 1 di sini ditemukan merayau seorang diri di Tasek Y di bandar Batu Pahat awal pagi tadi.
Nurul Suhada Jalal, 19, yang ditemukan orang awam kira-kira pukul 3 pagi itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan penemuan semula pelajar tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Batu Pahat itu pagi tadi.
Katanya, gadis itu berada dalam keadaan baik ketika dihantar oleh orang awam dan diambil keterangan sebelum pihak keluarga datang mengambilnya pulang.
“Terima kasih atas keprihatinan orang ramai sehingga membawa kepada penemuan semula anak ketiga daripada empat adik beradik itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Ibunya, Muzlinah Mohammed, 43, melahirkan rasa syukur dengan penemuan semula anaknya yang hilang sejak hari Khamis minggu lalu selepas keluar dari rumah kira-kira pukul 10 malam.
Dia turut berterima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang membantu menyiarkan kisah kehilangan anaknya itu sehingga mendapat perhatian orang ramai untuk membantu.
“Buat masa sekarang, Suhada ditempatkan di rumah adik sehingga keadaannya tenang dan pulih semula daripada kejadian itu,” katanya. – UTUSAN