PETALING JAYA: Sebanyak 300 lot niaga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal disediakan untuk peniaga bersempena penganjuran Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. Rayme Zainal berkata, festival bertemakan Memori Ramadan, Aspirasi Syawal itu, menonjolkan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun rakyat Malaysia.
Katanya, pelbagai aktiviti dan juga reruai akan dibuka bermula 28 Februari depan sehingga ke ambang malam 1 Syawal.
“Acara ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi turut memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
“Festival ini menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini dalam usaha menarik minat semua golongan masyarakat terutama generasi muda,” katanya dalam kenyataan akbar di sini.
Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen Pangkin Seni dan Serambi Santai bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan dan ruang melepak untuk pengunjung beristirehat.
“Bagi mengekalkan tarikan tahun ini, khemah lutsinar dan berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk pengunjung berbuka puasa sebagai tarikan bazar itu.
“Ada lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan bagi menampung jumlah pengunjung yang disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3,” katanya. – UTUSAN