BANGI: Perbadanan Kota Buku dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor akan menganjurkan Forum Anak Alam: Dalam Sorotan Sejarah esok yang akan diadakan di Hentian Buku Selangor, Kompleks Hentian Kajang bermula pukul jam 10:30 pagi hingga 2 petang.
Program ini akan menampilkan tiga tokoh penting daripada Pertubuhan Anak Alam, iaitu Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail, Datuk’ Che Shamsudin Othman (Dinsman), dan kurator seni terkenal, Faizal Sidik.
Forum tersebut bertujuan mengimbas kembali perjuangan seni oleh kumpulan Anak Alam yang dikenali sebagai pencetus arus pergerakan seni seperti melukis, berpuisi dan berteater.
Kumpulan Anak Alam, yang ditubuhkan pada 1974, telah mencipta manifestasi seni melalui karya-karya yang menjadi khazanah tidak ternilai kepada dunia seni tanah air.
Dalam tempoh lima dekad, kumpulan tersebut terus memainkan peranan penting dalam membentuk asas dan inspirasi kepada penggiat seni kontemporari di Malaysia.
Selain forum, jualan buku turut diadakan dari pukul 10 pagi hingga 2 petang di lokasi yang sama, menghimpunkan pelbagai penjual buku untuk menarik perhatian pencinta ilmu.
Moderator forum ialah Naim Al Kalantani, yang akan mengemudi sesi perkongsian bersama tokoh-tokoh utama seni negara.
Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail akan berkongsi pengalamannya sebagai penyair, pelukis, dan novelis yang menonjolkan elemen Nusantara dalam karya seninya.
Dinsman pula akan berkongsi tentang penglibatannya dalam teater dan seni kebudayaan sejak era 1970-an.
Faizal pula akan menelusuri sumbangan seni visual dan kepentingan kurasi dalam memelihara legasi seni negara.
Orang ramai dijemput untuk hadir memeriahkan forum ini yang bakal menjadi platform penting dalam meraikan serta menghargai legasi seni tempatan. – UTUSAN