PETALING JAYA: Studio Digital milik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mempunyai fasiliti sistem perkhidmatan Dolby Atmos paling terkini di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, sejak kemudahan tersebut beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun lalu, Finas telah menghasilkan reka bentuk bunyi untuk lebih 20 buah filem, termasuk produksi dari Vietnam .
“Finas sudah tambah baik kemudahan sedia ada di mana sistem Atmos Dolby 8.0 kami boleh menghasilkan reka bentuk bunyi menggunakan 52 pembesar suara.
“Kami dimaklumkan oleh pihak Dolby bahawa sistem di Finas adalah yang paling terkini di Asia Tenggara.
“Sejak Ogos lalu, ada 20 buah filem telah dihasilkan menggunakan sistem kami seperti Takluk: Lahad Datu, Dongeng Sang Kancil dan beberapa filem besar yang akan menyusul tahun ini.
“Namun, ada juga produksi yang memerlukan khidmat kami untuk pascaproduksi tapi menggunakan sistem lama kerana tidak semua pawagam di Malaysia boleh menampung sistem bunyi Atmos Dolby,” katanya.
Azmir ditemui Utusan Malaysia sebelum majlis gala dan tayangan filem Soloz: Game of Life di Starling Mall, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, Finas juga akan meneruskan kerjasama dengan menghantar beberapa jurutera audio tempatan untuk menjalani latihan sistem bunyi terkini bersama pihak Dolby.
“Alhamdulillah, untuk jangka masa panjang, kita akan mengadakan kursus latihan teknikal bersama pihak mereka.
“Kita memerlukan lebih ramai tenaga pakar terutama jurutera audio di Malaysia,” jelasnya.
Tambah Azmir lagi, mana-mana produksi yang berminat untuk menghasilkan sistem bunyi di Finas boleh terus menghubungi mereka untuk melakukan tempahan. -UTUSAN