TAHUN lalu menyaksikan pelbagai genre filem hadir ke panggung daripada pelbagai produksi.
Filem aksi tetap menjadi tumpuan dan menjadi antara lima naskhah yang paling banyak mendapat tontonan di Malaysia baik aksi sejarah (Pendekar Awang), aksi kepolisian (Sheriff) mahupun aksi jenayah (The Expert).
Selain itu, genre filem yang turut mendapat sambutan adalah komedi dan seram namun tidak melupakan kebangkitan penggiat seni menghasilkan genre eksperimentasi seperti survival (Ngesot) dan sukan (Gold) walaupun hasil kutipan tidak begitu memberangsangkan.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, tahun lalu menyaksikan hanya enam daripada 38 filem dalam kategori Skim Wajib Tayang Finas berjaya memperoleh sekurang-kurangnya RM1 juta kutipan.
Memasuki 2025, naskhah f ilem tahun ini diharap lebih pelbagai, selain meyakinkan banyak penonton tanah air menyokong karya tempatan.
Hasil pemerhatian Pancaindera berdasarkan promosi awal dan cakap-cakap warganet, berikut antara filem tempatan yang diramal bakal memberi impak kepada panggung tempatan untuk 2025.
KELUANG MAN
Penerbit, Astro Shaw, sudah memulakan rangka promosi sejak tahun lalu menerusi panggilan uji bakat projek adiwira animasi popular, Keluang Man.
Ketika diumumkan, ia sudahpun menyita perhatian kerana siri kartun ini merupakan nostalgia kepada mereka yang pernah menonton karya Allahyarham Kam Ismail ini sejak 1995 lagi.
Nas-T diumumkan sebagai Borhan dan filem ini sudahpun memulakan penggambaran pada Mei tahun lalu. Keluang Man bakal menemui penonton dijangka Mei 2025.
DUYUNG
Ketika kemunculan filem ini pada 2008, naskhah komedi fantasi ini sudah pun mempunyai peminat tersendiri.
16 tahun berlalu, KRU Studios mengambil keputusan untuk menghasilkan sekuel kepada filem box office itu, dengan membawakan dunia duyung kepada penonton.
KRU mengumumkan Anna Jobling bakal menjadi teraju utama di samping Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian. Duyung bakal menemui penonton suku tahun 2025.
GAME OF LIFE
Malaysia tidak pernah memiliki filem yang mengangkat dunia permainan video atau esport.
Namun tahun ini, pengarah filem terlaris dua tahun berturut-turut, Syafiq Yusof mencabar diri menghasilkan naskhah dengan tema yang sangat berbeza ini.
Mengangkat perjalanan Soloz, permainan profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Game of Life menampilkan Hun Haqeem sebagai pelakon utama dan bakal menemui penonton 23 Januari ini.
GAYONG
Mungkin kerana Beto Kusyairy, atau Nabila Huda namun filem Gayong dijangka memberi saingan terhadap filem lain yang bakal tayang tahun ini.
Beto bakal menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama pengasas Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia, mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd. Hashim.
Turut terlibat dalam naskhah itu ialah pelakon aksi Hollywood asal Indonesia, Yayan Ruhian. Gayong akan menemui penonton 5 Oktober ini.