GEORGE TOWN: Pemaju hartanah, Seni Bahagia Sdn. Bhd. memperkenalkan fasa keempat projek perumahan yang dinamakan Ferringhi Hills.
Pengarah Urusan Seni Bahagia, Albert Chuan berkata, dengan lokasinya yang strategik iaitu kira-kira 30.84 meter dari aras laut, Ferringhi Hills menawarkan konsep rumah mewah eksklusif tiga tingkat bertempat di lereng bukit di kawasan Batu Ferringhi.
“Dengan harga bermula dari RM1.4 juta hingga RM1.88 juta, Ferringhi Hills telah menarik perhatian pembeli tempatan dan setakat ini, kira-kira 80 peratus daripada unit yang ditawarkan ini sudah terjual sekali gus menunjukkan permintaan tinggi terhadap rumah berkonsep eksklusif ini.
“Walaupun kebanyakan pembeli adalah dalam kalangan warga tempatan, kelebihan harga mampu milik turut menarik perhatian pembeli asing,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.
Menurut Albert, secara keseluruhannya, projek itu terdiri daripada 32 unit rumah teres tiga tingkat dengan keluasan sekitar 3,255 kaki persegi setiap unit.
Katanya, rumah ini direka untuk memenuhi keperluan fleksibiliti moden dengan studio di tingkat bawah yang boleh diubah menjadi gimnasium, pejabat, bilik hiburan, atau ruang kediaman tambahan.
Albert berkata, apa yang membezakan Ferringhi Hills daripada projek lain adalah lokasinya yang terletak berhampiran tarikan pelancongan utama seperti hotel bertaraf lima bintang dan kemudahan lain di Batu Ferringhi.
“Selain itu, suasana persekitaran yang nyaman, bebas kesesakan, dan iklim sejuk menjadikan kawasan ini pilihan ideal untuk kediaman,” katanya.
Tambah beliau, projek itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang, dengan menawarkan kediaman eksklusif yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dan gaya hidup moden.
Selain itu, beliau berkata, Seni Bahagia turut merancang untuk membangunkan beberapa projek baharu di kawasan Batu Ferringhi termasuk rumah berkembar di Jalan Batu Ferringhi serta apartmen servis yang bakal memperluaskan lagi jenama mereka. – UTUSAN