LUMUT: Feri baharu bernilai kira-kira RM8 juta yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, dengan Takbai, Narathiwat,Thailand, akan mula beroperasi Mac ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata feri yang diberi nama Sri Tanjong 1 itu akan menggantikan feri sedia ada Sri Tanjong yang sudah berusia lebih 30 tahun dan sering mengalami kerosakan.
“Feri baharu sepanjang 33 meter ini bukan sahaja direka untuk memenuhi keperluan semasa, malah turut dilengkapi dengan teknologi terkini yang mesra alam.
“Ia selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk mengurangkan jejak karbon dan menyokong matlamat pembangunan lestari.
“Feri jenis RoRo ini mampu menampung hingga 58 penumpang dan enam kru feri, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat buah lori 5 tan atau dua buah lori 10 tan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis peluncuran feri tersebut untuk sesi pengujian dan latihan di Limbungan Syarikat Jicore Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Beliau berkata, pengoperasian feri baharu itu akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada aspek perniagaan, hubungan kekeluargaan dan pelancongan, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
Menurutnya, terdapat dua feri beroperasi di laluan tersebut dengan satu daripadanya adalah dari Thailand yang telah melancarkan feri baharunya beberapa tahun lalu.
Katanya, pembinaan feri baharu itu mengambil masa hampir setahun bermula 1 Mac tahun lalu dan hari ini pertama kali diturunkan ke laut untuk menjalani proses pengujian, latihan dan seterusnya penghantaran ke Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor.
Jangkaan tempoh pengujian dari 24 Januari hingga 7 Februari 2025, manakala tempoh Program Latihan Operasi dan Penyelenggaran Feri ialah mulai 10 hingga 16 Februari, diikuti dengan penghantaran feri ke Pengkalan Kubor, dijadualkan dari 17 hingga 22 Februari ini.
Katanya, feri itu akan meneruskan tempoh penyesuaian dari 23 hingga 28 Februari sebelum dijadualkan untuk dirasmikan pada bulan puasa ini.
Beliau berkata, projek feri itu adalah hasil kerjasama Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR Malaysia dan Syarikat Sumber Samudra Sdn. Bhd.
“Apabila feri baharu ini beroperasi, maka feri lama akan dilucutkan tauliah dan kemungkinan akan dijual,” katanya. – UTUSAN