F1 di sekolah: Malaysia duduki ranking kesembilan dunia

F1 di sekolah: Malaysia duduki ranking kesembilan dunia

PESERTA F1 in Schools dari pada pelbagai negara bergambar sambil mengangkat bendera mereka masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Malaysia, Valour Special Project mencatat sejarah dengan pencapaian membanggakan di Aramco F1 in Schools 2024 World Finals, Arab Saudi dengan merangkul anugerah khas Verbal Presentation selain meraih tangga ke sembilan dunia daripada 55 pasukan.Dua pasukan tanah air lain iaitu pasukan Energeteen meraih tangga ke-21 peringkat dunia manakala pasukan Kilau Lumba di tangga ke-35.

PASUKAN Valour Special Project bersama pasukan daripada negara Filipina ketika proses penilaian kereta F1 ciptaan mereka di pentas utama.

Ketua Penyelaras F1 in Schools Malaysia, Mohd Nazrin Zulkifli berkata, Malaysia dijadikan rujukan (benchmark) oleh banyak negara Asia dalam program F1 in Schools kerana prestasi pelajar dan portfolio yang berkualiti.

Katanya, walaupun negara seperti Arab Saudi membuat pelaburan besar, Malaysia tetap berada di kedudukan lebih baik berbanding kebanyakan negara Arab dalam pertandingan ini.

“Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah untuk World Final F1 in Schools pada tahun pelepas pernah menganjurkannya pada tahun 2008, 2015, dan 2017.

“Dengan sokongan berpasukan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Malaysia berharap dapat mencapai tiga tangga teratas dan terus memperbaiki kedudukan dalam pertandingan peringkat dunia,” katanya ketika ditemu bual Utusan Pelajar.

Sebelum ini akhbar melaporkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pemegang lesen rasmi F1 in Schools Malaysia, Tiquar Enterprise menandatangani memorandum persefahaman (MoU) simbolik kerjasama untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Dr. Jamalulaili Abdullah berkata, program F1 in Schools memupuk minat pelajar terhadap STEM dengan memberikan aplikasi praktikal kepada ilmu sains dan kejuruteraan yang dipelajari di sekolah.

Katanya, pelajar juga mendapat bimbingan langsung daripada pensyarah universiti, terutama dalam bidang kejuruteraan yang membuka peluang awal untuk memahami pembelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Program turut meningkatkan kemahiran pelajar dalam reka bentuk, pembentangan, komunikasi, dan membina rangkaian global melalui interaksi dengan peserta daripada pelbagai negara.
“Apabila bertanding di peringkat dunia, pelajar akan berinteraksi dengan pelajar negara lain, secara tidak langsung mengasah kemahiran komunikasi selain dapat bertukar pandangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Jaringan Industri, UiTM, Prof. Dr. Muhammad Hussain Ismail berkata, pertandingan ini bukan sekadar membina kereta, tetapi turut merangkumi aspek inovasi, kreativiti, pemasaran, dan kerjasama pasukan.

Katanya, pensyarah UiTM diberi kepercayaan menjadi hos sejak 2023 kerana komitmen serta kepakaran dalam bidang asas automotif yang melibatkan pelbagai disiplin ilmu seperti fizik, dinamik, reka bentuk, dan aplikasi perisian komputer untuk reka bentuk.

“UiTM turut berperanan menghubungkan pelajar dengan industri melalui kerjasama dalam penyelidikan, aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan kepakaran tertentu seperti cetakan 3 Dimensi (3D) yang menyokong keperluan pelajar.

“Ini membentuk keperibadian pelajar berbakat dengan bekalan ilmu yang relevan sebelum mereka melangkah ke peringkat universiti dalam bidang pilihan mereka,” katanya.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, peserta F1 in Schools Malaysia, Adam Rayyan Abdul Azim, 15, berkata, peluang tersebut bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada dunia profesional, malah melatih mengendalikan projek serta penyampaian idea yang baik.

Katanya, peserta program dapat meningkatkan keyakinan diri dan semangat untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang STEM.

“Di peringkat antarabangsa, program ini membuka peluang kepada kami untuk belajar daripada peserta lain dan membina rangkaian global.

“Selain itu, kejayaan membawa pulang pencapaian ke tanah air turut menjadi kebanggaan besar buat kami dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sekolah-sekolah yang berminat menghantar pasukan ke F1 in Schools Malaysia boleh layari laman web rasmi di www.f1inschoolsmalaysia.com atau ikuti perkembangan terkini melalui media sosial di Instagram dan Facebook F1 in Schools Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN