PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio, Shuib dan Mamat menegaskan tidak akan sewenang-wenangnya menerima sebarang tajaan mana-mana agensi pelancongan yang berminat untuk menerbangkan mereka ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 40, berkata, hal demikian kerana dia dan Mamat enggan terpalit atau dipersalahkan sekiranya timbul masalah membabitkan agensi berkenaan di kemudian hari.
“Saya dan Mamat sebelum ini pernah ditawarkan oleh sebuah agensi pelancongan tempatan yang berminat membawa kami ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Bagaimanapun selepas itu kami menarik diri selepas terbaca aduan-aduan jemaah mengenai syarikat tersebut.
“Saya kalau boleh tidak mahu memanjangkan isu ini, sebab saya dan Mamat tak tahu apa masalah yang berlaku antara jemaah dengan agensi berkenaan.
“Yang kami inginkan adalah beribadah dengan tenang, oleh itu kami putuskan untuk menarik diri dan minta agensi berkenaan tidak lagi menggunakan nama dan gambar kami untuk tujuan mempromosikan pakej yang mereka tawarkan.
“Kami tidak mahu terpalit dan dipersalahkan sekiranya timbul masalah di kemudian hari. Alhamdulillah pihak mereka faham dan akur dengan keputusan kami. Tindakan ini bukanlah untuk menjatuh hukum, cuma sebagai langkah keselamatan. Dan Alhamdulillah, kami terima pula rezeki lain apabila ditawarkan Nuh Travel & Tours untuk ke Tanah Suci bersama mereka, itu pun selepas kami kaji selidik latar belakang mereka,” katanya.
Shuib berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pejabat Nuh Travel & Tours pagi tadi. Turut hadir adalah Mamat Sepah, penyampai Suria FM, Kai Hassan dan Ketua Pegawai Operasi agensi tersebut, Adam.
Ketiga-tiga selebriti tersebut bakal dibawa syarikat berkenaan ke Tanah Suci bermula 2 hingga 12 April depan.
Mengulas isu yang sama, Mamat atau Mohd. Noor Murad, 39, menyambut baik ketegasan Shuib mengenai perkara itu yang disifatkannya langkah tepat untuk melindungi imej dan nama baik mereka.
“Kami tidaklah ditipu agensi terbabit, dan masalah yang berlaku hanya membabitkan sekumpulan jemaah yang mereka terbangkan sebelum ini.
“Pada awal saya cadangkan kepada Shuib agar teruskan dengan perancangan yang telah disusun atur, namun Shuib bertegas dengan alasan yang pada saya munasabah.
“Ada benarnya kata Shuib, kalau boleh masalah dan perkara yang tidak diingini membabitkan program umrah ini, dielakkan sebab kami akan dipersalahkan sekiranya timbul masalah kelak.
“Kami tidak berdepan masalah sepanjang berurusan dengan agensi terbabit. Namun kami khuatir selepas terbaca aduan-aduan jemaah mengenai mereka. Jadi saya rasa keputusan kami menarik diri adalah tepat,” jelasnya.