KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Husna enggan melakonkan babak yang berpotensi menimbulkan kontroversi.
Katanya, sebagai isteri orang, dia harus menjaga batas agar maruah dan nama baiknya serta keluarga tidak tercalar.
“Sebagai orang dewasa, saya kena pandai menilai baik dan buruk. Memanglah dalam berlakon, pelakon kena ikut skrip dan ikut arahan pengarah.
“Tapi, lakonan juga ada batasnya. Kalau watak atau babak itu diluar kemampuan, saya tak akan terima.
“Jangankan kerana tawaran berlakon, saya gadaikan imej bersih dan nama baik,” katanya.
Sharifah ditemui pada forum dan sidang media drama Berbahagi Suami baru-baru ini.
Katanya lagi, penglibatannya dalam dunia lakonan bukan untuk mengejar nama dan populariti.
“Saya tak pernah fikir tentang popular sebab saya jadi pelakon pun kerana minat kepada bidang ini.
“Memadailah saya ditawarkan berlakon, terkenal atau tidak bukanlah sesuatu yang saya kejarkan,” katanya.
Sementara itu, Sharifah memaklumkan suaminya juga pelakon, Halim Radzi tidak pernah melarang atau campur tangan dalam urusan kerjayanya.
“Dia juga pelakon, jadi cukup faham bidang kerja ini. Setakat ini dia tidak melarang saya berlakon.
“Dia juga percaya saya boleh bawa diri. Saya beruntung kerana bersuamikan pelakon sebab dia faham karier saya,” jelasnya.