Empat termasuk seorang wanita berdepan hukuman gantung

Empat termasuk seorang wanita berdepan hukuman gantung

EMPAT individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 100 kilogram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat individu termasuk seorang wanita berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 100 kilogram (kg), awal bulan ini.

Keempat-empat tertuduh, Kok Yan Shen, 25, Ng Wei Loon, 30, Lynette Goh Sauk Fung, 25, dan Lim Jia Chun, 30, mengaku faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 93.658 kg di sebuah rumah di Jalan Mersawa 16, Taman Kota Cahaya Puteri, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan juga boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sehingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, keempat-empat tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan memiliki dadah, masing-masing ketamin dengan anggaran berat kasar 20.096 kg dan nimetazepam dengan berat 2.925 kg.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagi dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam dan Mohd. Afdhallan Syafiq Azmy, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan kes disebut semula pada 17 Mac depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya