KUALA LUMPUR: Kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bertukar detik cemas bagi empat sekeluarga apabila kediaman mereka di Taman Mas, Cheras, di sini, terbakar awal pagi ini.
Kesemua mangsa berusia antara 46 tahun hingga 81 tahun yang terperangkap di dalam rumah diselamatkan pasukan bomba, namun mengalami sesak nafas dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang musnah 20 peratus dan sebuah motosikal jenis Yamaha yang diparkir di hadapan rumah.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seramai 12 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamat sebelum menemukan sepasang warga emas bersama seorang lelaki dan seorang wanita dewasa di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Jelasnya, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN