KOTA TINGGI: Seramai 12 orang daripada empat buah keluarga di Pekan Sungai Rengit, dekat sini yang terjejas akibat hakisan ombak akan dipindahkan di penempatan sementara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, tindakan itu bagi memastikan keselamatan keluarga tersebut terutama dalam keadaan cuaca buruk ketika ini.
“Pada masa ini kita rancang untuk mereka ini dipindah ke penempatan sementara kerana kita tidak dapat jangka bila berlaku keadaan ombak besar dan angin kuat ini lagi.
“Jadi, kita keluarkan dahulu penduduk untuk keselamatan mereka, setakat ini terdapat empat buat rumah terkesan dengan keadaan tersebut di Sungai Rengit ini,” katanya selepas meninjau hakisan pantai di pekan Sungai Rengit, di sini semalam.
Aznan berkata, hakisan pantai berkenaan memang berlaku setiap tahun namun kali ini agak teruk berikutan fenomena air pasang berserta angin kencang.
Katanya, ketika kejadian kelmarin, ketinggian air laut mencecah dua meter dan parasnya boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan keadaan lebih buruk jika ia berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar serta angin kuat.
“Biasanya lima tahun sekali kejadian seperti ini berlaku, tetapi kali ini agak besar. Kami bimbang jarak laut dengan jalan utama hanya 15 ke 20 meter, ia boleh mengakibatkan jalan pula terhakis.
“Kami juga mohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tambak dengan batu-batu di kawasan berkenaan untuk elak hakisan,” katanya. – UTUSAN