SEREMBAN: Empat individu cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah restoran dekat Nilai di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, ebih kurang 10 malam, polis menerima makluman daripada orang awam memaklumkan terdapat empat lelaki warga tempatan lingkungan umur 44 tahun hingga 59 tahun telah diserang.
“Difahamkan ia dilakukan sekumpulan lelaki yang terus meluru ke arah mangsa yang ketika itu berada dalam sebuah kedai makan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah diserang oleh sekumpulan suspek disyaki warga tempatan lebih kurang lima orang dengan bersenjatakan parang ketika sedang duduk minum di dalam kedai makan tersebut.
“Kesemua mangsa telah dirujuk ke Hospital Tunku Ja’afar Seremban (HTJS) ntuk menerima rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, motif serangan masih belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana telah merusuh dengan menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata. – UTUSAN