PETALING JAYA: Kerjasama Permodalan Kedah Bhd. (PKB) bersama Shamsul Kahar & Co (ASKCO) dan dua lagi entiti meletakkan sasaran jangka panjang untuk menyenaraikan lima syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke Bursa Malaysia menjelang tahun depan.
Ketua Rakan Kongsi ASKCO, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dalam kenyataan berkata, kerjasama yang turut membabitkan Corporate Mind Group dan Komisioner Jakarta Business School, Tan Sri Dr Nordin Kardi itu turut menyasarkan 700 usahawan PKS menjelang akhir tahun ini menyertai 17 program sokongan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
“Sekarang banyak PKS tidak memiliki perancangan jangka panjang dalam perniagaan. Ia seakan-akan terhenti setakat memperoleh jualan, oleh itu kita mahu membuka potensi PKS dalam sektor teknologi, pertanian peruncitan, perkhidmatan dan syarikat pemula niaga.
“Kerjasama ini menyasarkan lima syarikat menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun depan. Sasaran jangka pendek adalah menyokong 500 PKS menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya.
Memorandum persefahaman (MoU) pelbagai pihak itu juga bertujuan untuk memacu kemajuan ekonomi Malaysia dengan memperkukuhkan rangka kerja perundangan serta memupuk pakatan strategik dalam pembangunan usahawan di Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, ASKCO, yang juga firma guaman berpengalaman memberikan nasihat perundangan kepada PKS, konglomerat tempatan, syarikat asing dan juga syarikat senarai awam.
Sementara itu, berada di bawah naungan ASKCO, Corporate Mind memainkan peranan penting dalam kerjasama terbabit dengan menawarkan perkhidmatan nasihat khusus kepada usahawan serta memberikan penyelesaian dan pandangan inovatif untuk melaksanakan perkembangan perniagaan. – UTUSAN