KUALA LUMPUR : Pelakon, Che Puan Juliana Evans, 36, mendedahkan tidak begitu berminat untuk membawakan watak penyondol kerana menganggap ia tidak memberikan impak positif kepada penonton terutama dalam usaha memartabatkan maruah kaum wanita.
Menurut Juliana, watak wanita perampas juga baginya tidak memberikan cabaran selain terlalu mudah dan klise untuk dibawakan.
“Saya memang tidak akan ambil watak penyondol. Saya tak mahu bawa karakter seperti itu. Kadang-kadang dapat peranan yang kurang sesuai, saya tolak.
“Sebelum ini memang ada tawaran watak begitu. Rasanya hampir semua drama sekarang mesti ada karakter penyondol. Tapi bagi saya, watak sebegitu terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal.
“Sebagai pelakon, saya tak mahu dikenali hanya kerana watak seperti itu, karakter sebegitu merendahkan wanita,” katanya.
Juliana berkata demikian semasa ditemui usai Majlis Tayangan Perdana Filem Bisikan Dosa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Selain itu, kongsi Juliana, selepas berkahwin, dia lebih memilih untuk membawakan watak yang mencerminkan kekuatan dan kehebatan kaum wanita.
“Saya mahu watak yang menonjolkan wanita kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
“Saya suka cabaran. Sebagai contoh, saya mahu watak-watak berkaitan penyelamatan, biografi, atau perjuangan seseorang untuk bangkit. Cabaran sebegitu membuatkan saya lebih menghargai seni lakonan,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Juliana, itu tidak bermakna dia enggan menerima sebarang tawaran untuk membawakan watak antagonis.
“Kalau watak jahat seperti dalam teater Bawang Putih Bawang Merah yang pernah saya bawakan sebelum ini, saya tiada masalah. Tapi kalau jadi penganggu rumah tangga, saya rela lepaskan.
“Kadang-kadang tengok TV pun hampir semua sama. Lama-lama rasa seperti bencinya wanita digambarkan begitu. Sebab itu saya nak tampilkan kelainan.
“Kita mahu tunjukkan kehebatan seorang wanita. Apa kelebihan kita. Bukan fokus terhadap perkara negatif,”ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pembabitan dalam filem Bisikan Dosa, Juliana yang membawakan watak Doktor Delin berkata, ia merupakan filem pertama lakonannya selepas melahirkan anak kedua, Jun tahun lalu.
Filem Bisikan Dosa terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan arahan Faizul A Rashid turut dibintangi Farid Kamil, Sara Ali, Uqasha Senrose dan Sherry Merlis yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari nanti.-UTUSAN