GEORGE TOWN : Umat Islam dinasihatkan agar menggantikan aktiviti malam tahun baharu dengan memperbanyakkan solat, zikir serta bermuhasabah diri selain mengelakkan daripada menghadiri konsert hiburan yang penuh dengan maksiat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, menghadiri sebarang bentuk acara hiburan seperti konsert yang tidak berfaedah bukan sahaja boleh mengurangkan keimanan, tetapi juga mengundang kemurkaan Allah.
“Hiburan dibenarkan dalam Islam selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. Namun, menghadiri konsert hiburan yang penuh maksiat, terutamanya sempena tahun baharu yang lazimnya diiringi pergaulan bebas dan kelalaian, adalah tidak sesuai bagi seorang Muslim.
“Sebaiknya, isi lah malam tersebut dengan aktiviti yang mendekatkan diri kita kepada Allah dan memperbaiki diri untuk masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan, siasatan awal polis terhadap empat pengunjung konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang yang maut selepas menghadiri konsert itu mendapati, kesemua mereka dipercayai mengambil pil dadah jenis ekstasi.
Menurut Mohd. Sukki, sambutan tahun baharu biasanya dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran golongan muda, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan.
Katanya, tambah ‘menyeronokkan’ ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
“Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila tibanya sambutan tahun baharu masihi, ia dicemari dengan sambutan bercirikan maksiat yang bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi tidak menepati adab-adab dan nilai-nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti yang baik,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat, media dan kerajaan perlu bertanggungjawab mengembalikan adab dalam sambutan tahun baharu agar ia tidak dicemari dengan perbuatan maksiat yang merugikan serta yang menghilangkan keberkatan.
“Justeru, ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan.
“Pastikanlah anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran di waktu larut malam yang ianya sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan,” katanya yang berharap, pihak pemerintah dan kerajaan juga akan membantu dalam usaha membentuk jati diri bangsa ke arah yang lebih beretika dan bermaruah. – UTUSAN