PETALING JAYA: Kerajaan menjangkakan perkembangan ekonomi pada tahun ini lebih baik dengan pelaksanaan beberapa inisiatif yang disasarkan untuk mensejahterakan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berada dalam ‘laluan yang tepat’ untuk menjadi negara peneraju ekonomi rantau Asia.
Katanya, kerangka Ekonomi Madani memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mengukuhkan sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, rahmah dan supaya keadilan ditegakkan bagi setiap rakyat Malaysia.
“2024 merupakan tahun yang bakal dikenang dalam sejarah sebagai mukadimah dan pembuka kepada agenda pembaharuan nasional bagi Malaysia.
“Atas ikhtiar tersebut, kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun ini, insya-Allah. Saya turut memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil.
“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” katanya semasa menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi bahawa penyasaran subsidi diesel dan tarif elektrik digerakkan oleh kerajaan sebelum ini adalah untuk menutup ketirisan yang berlaku sekian lama.
Katanya, ketirisan terus berlaku kerana pihak paling kaya dan 3.5 juta warga asing yang tidak layak menerima subsidi terus menikmatinya.
Beliau berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus dipertingkatkan apabila kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan dua bantuan itu sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
“Selain daripada menambah jumlah bantuan saban tahun, Kerajaan juga giat gejala fenomena kenaikan kos yang harus ditangani, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang wenangnya,” jelasnya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia melibatkan perkara belum diduga dan berlaku seperti musibah banjir, mutakhir ini.
Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera, selain kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin akan diselenggarakan oleh semua agensi kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dampak yang buruk dari musibah tersebut.
“Insya-Allah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak.
“Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain daripada memberikan tumpuan kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuhraya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan berisiko tinggi walaupun akan memberikan kesan serta dampak perbelanjaan yang tinggi,” katanya.
Menyentuh mengenai kepengerusian ASEAN 2025, Anwar berkata, kerumitan landskap global pada saat ini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu.
“Ini ternyata menjadi tugas besar Malaysia tatkala memimpin ASEAN tahun ini dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yakni membawa seluruh kekuatan, pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan dan mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh kelompok yang tersisih atau miskin atau terpinggir.
“Jadi inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan,” katanya.
Beliau turut menuntut seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menjunjung prinsip berusaha untuk kecemerlangan.
“Maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu, sebab sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik, tata kelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.
“Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya,” ujarnya. – UTUSAN