DUNGUN: Hasrat seorang ejen pelaburan di daerah ini untuk menerima keuntungan 150 kali ganda berkecai apabila dia kerugian kira-kira RM347,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, lelaki berusia 42 tahun itu tampil membuat laporan polis semalam, selepas menyedari dia tertipu dengan skim itu dan tidak mendapat pulangan berganda yang dijanjikan.
“Lelaki itu mendakwa menyertai skim pelaburan itu pada Mac tahun lalu dan membuat transaksi pertama sebanyak RM20,000 kepada sebuah syarikat. Pengadu mendakwa telah berhubung dengan suspek yang menawarkan skim itu secara talian dan bersemuka,” katanya.
Maizura berkata, pengadu mendakwa, selepas dia membuat pemindahan wang itu, dia telah diberikan akad pelaburan menandakan mengikat persetujuan pelaburan berkenaan.
“Menerusi akad pelaburan itu, suspek menjanjikan keuntungan sebanyak 150 kali ganda, empat atau lima kali seminggu dan dibayar keuntungan setiap hari bergantung hari yang didagangkan. Percaya dengan janji itu, lelaki itu kemudian membuat sebanyak 19 kali transaksi ke dalam tiga akaun berbeza hingga menyebabkan pengadu kerugian RM347,000,” katanya.
Maizura berkata, pengadu mula menyedari dia ditipu apabila pelaburan itu hanya berjalan selama 40 kali bayaran keuntungan.
“Pengadu telah berjumpa suspek untuk bertanya mengenai masalah itu dan suspek berjanji menyambung semula ‘trade in’ pada September 2024, namun selepas dua minggu pertemuan itu, suspek tidak lagi dapat dihubungi,” katanya. – UTUSAN