Edar dadah, tiga lelaki berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Edar dadah, tiga lelaki berdepan hukuman gantung

TIGA lelaki yang dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tiga lelaki berhadapan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,918 gram, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafis Abu Bakar, 39; Muhamad Aliff Saidin, 34, dan Muhammad Aiman Afiq Muhamad Yusri, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,918 gram di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan pad pukul 2.50 petang, 6 Januari 2025.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Media pada 7 Januari lalu melaporkan urus niaga dadah jenis syabu kali pertama yang dijalankan tiga lelaki di daerah ini berakhir apabila kesemua mereka diberkas polis di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini.

Tiga lelaki berasal dari Pulau Pinang dan Kedah itu ditangkap selepas pemeriksaan dalam kereta jenis Toyota Camry dinaiki mereka menjumpai dua bungkusan plastik hijau berlabel ‘guanyunwang’ disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 1,918 gram.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga lelaki itu mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya