DXStream Juara ASIA Challenge Competition Series - Utusan Malaysia

DXStream Juara ASIA Challenge Competition Series

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan DXStream berjaya menewaskan 16 kumpulan lain apabila dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan ASIA Challenge Competition Series menerusi permainan Mobile Legends.

Pasukan DXStream, dianggotai oleh SunSeishiro, M1NGKONG, Sizkaa, SkyZED, dan Aishh, mempamerkan kehebatan mereka sepanjang kejohanan yang berlangsung Ahad lalu dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.

Sementara itu, naib juara dirangkul pasukan Natsu & Friends, yang terdiri daripada Natsu, Yums, Gojes, Aim, dan Illidan dengan membawa pulang RM3,000 serta trofi kemenangan.

Di tempat ketiga, pasukan Aii Taubat Dakgi diwakili Zarul Hafiz, Mat Production, Najmil Faiz, Muhammad Amadi Syafiq, Muhammad Uddin dan Arif Aiman berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam kejohanan ini serta membawa pulang wang tunai RM1,000.

Dalam pada itu, pasukan Odyssey MY turut menerima penghargaan dengan anugerah Best Shout, sebagai pasukan yang paling menyerlah dalam kategori komunikasi dan strategi permainan manakala DXSkyZed dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan, kejohanan ini bukan hanya untuk mencungkil bakat dalam industri e-sukan, tetapi juga untuk memastikan golongan influencer dan anak muda lebih aktif serta terlibat dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami mahu influencer dan peserta yang terlibat tidak hanya tertumpu kepada penciptaan kandungan semata-mata, tetapi juga menyumbang kepada perpaduan dan kebajikan masyarakat. Sebab itu, selain kejohanan e-sukan, kami turut mengadakan pelbagai program lain yang menggalakkan interaksi dan pembangunan sahsiah,” katanya.

Tambah beliau, ASIA Challenge Competition Series juga menekankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), terutama menjelang Ramadan yang semakin hampir.

“Kami percaya bahawa perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat harus dipupuk melalui pelbagai program yang menyatukan rakyat, tanpa mengira latar belakang.

“Antara aktiviti yang bakal dilaksana termasuk program zakat untuk golongan memerlukan, serta lawatan ke rumah warga emas dan anak yatim, tanpa mengira bangsa dan agama.

“ASIA Challenge Competition Series akan terus menjadi platform yang bukan sahaja berprestij dalam dunia e-sukan, tetapi juga memberi impak sosial yang positif,” katanya lagi.

Ujar Abd. Rahman lagi, selain e-sukan, program ini juga merangkumi pelbagai pertandingan lain seperti fesyen, kecantikan, masakan untuk pasangan suami isteri, futsal, dan sukan tempur. Matlamat utama adalah untuk menggalakkan para influencer agar lebih aktif secara fizikal dan sosial, bukan sekadar menghasilkan kandungan digital.

“Kejohanan ini turut menawarkan sistem pengumpulan mata bagi setiap peserta yang aktif. Mata ini dikira berdasarkan kedudukan dalam pertandingan dan penyertaan dalam aktiviti lain. Peserta yang mencapai sasaran mata yang ditetapkan bakal menerima ganjaran istimewa iaitu percutian ke Dubai.

“Selain itu, setiap perlawanan juga menawarkan hadiah wang tunai dan pelbagai ganjaran lain, menjadikan kejohanan ini lebih menarik untuk disertai.

“Dengan sambutan hangat dan matlamat murni yang diketengahkan, ASIA Challenge Competition Series dijangka menjadi platform berprestij yang mampu menarik lebih ramai influencer dan pemain e-sukan untuk menyertai dan memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya