PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor mengesahkan sudah mengambil keterangan beberapa individu disyaki terlibat memasukkan beberapa ekor kucing yang masih hidup ke dalam guni sebelum dimuatkan ke dalam bonet sebuah kereta dalam kejadian di kawasan pangsapuri di Batu 9 Cheras, Kajang.
Kejadian itu dipercayai berlaku semasa program gotong-royong anjuran pengurusan bersama bangunan (JMB) di kawasan perumahan sekitar Kajang pada 11 Januari lalu, antara pukul 9 pagi hingga 3 petang.
“Pasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menyita sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra, beberapa unit guni serta sangkar yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
“Kes disiasat di bawah Subseksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan beberapa suspek telah dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, proses berkenaan penting bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan lengkap sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
“Jabatan memandang serius kejadian seperti ini dan akan memastikan pelaku yang melanggar undang-undang kebajikan haiwan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Ahad lalu, tular di media sosial video berdurasi 37 saat memaparkan sekumpulan lelaki menangkap beberapa ekor kucing di kawasan sebuah pangsapuri di Batu 9 Cheras, dekat Kajang dan dimasukkan ke dalam guni sebelum dimuatkan ke dalam bonet kereta. – UTUSAN