Duda dipenjara sembunyikan wang lebih RM800,000

Duda dipenjara sembunyikan wang lebih RM800,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara menyembunyikan wang milik seorang peniaga berjumlah lebih RM800,000, seorang duda dipenjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Hakim Azrul Darus membuat keputusan itu setelah tertuduh, Mohd. Fikri Zakaria, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fikri didapati dengan curang telah mengalih dan menyembunyikan harta iaitu wang berjumlah RM856,000 pada 16 September dan 22 Oktober tahun lalu di No. 31, Jalan Taman, Taman Kepong, Sentul, di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan mencadangkan hukuman setimpal bersifat pengajaran dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira jumlah kerugian yang amat besar dialami pengadu.

“Pelbagai sindiket menggunakan modus operandi seperti ini di negara ini menyebabkan kerugian besar yang ditanggung oleh rakyat Malaysia serta kes jenayah itu kerap berulang,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Fikri yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadapnya atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya tidak mempunyai kerja dan pendapatan tetap. Saya ada seorang anak yang kini menetap bersama bekas isteri. Buat masa sekarang, saya hanya buat kerja kampung seperti memotong rumput. Saya mohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman paling ringan,” rayunya.

Menurut fakta kes, pengadu telah menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita dikenali sebagai Serena Tan yang menawarkan pelaburan saham (perception trading capital) dengan menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.

Kemudian, pengadu telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diarah memuat naik satu aplikasi pelaburan saham sebelum membuat 25 transaksi secara berperingkat bernilai lebih RM1.46 juta ke dalam tiga akaun bank Hong Leong masing-masing atas nama PCP Capital Trading, Perception Capital Group Solution dan PCT Capital.

Pengadu, seorang peniaga, dijanjikan keuntungan dan akan dibayar ke dalam akaun aplikasi saham di mana pengadu melihat keuntungan terkumpul di dalam aplikasi tersebut.

Ketika pengadu mahu mengeluarkan keuntungan tersebut, transaksi telah ditolak dan pengadu diminta untuk membayar wang tambahan serta pelbagai alasan diberi sebelum wanita itu mengesyaki telah ditipu dengan kerugian lebih RM1.46 juta.

Hasil siasatan mendapati, penyata akaun Hong Leong tertuduh atas nama Perception Capital Group Solution mengesahkan terdapat kemasukan wang pengadu bertarikh 18 September 2024 hingga 11 Oktober 2024 sebanyak 15 transaksi berjumlah RM856,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya