MARAN: Dua wanita maut manakala dua individu lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 152 Lebuh Raya Pantai Timur Satu (LPT1) berdekatan Felda Sungai Nerek, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menerima laporan kejadian pada pukul 11.07 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
“Seramai sembilan anggota dari BBP Maran dibantu dua buah jentera manakala bantuan juga diperoleh dari BBP Temerloh dengan seramai tujuh anggota bersama dua buah jentera.
“Komander operasi mengesahkan sebuah kereta jenis Nissan Almera terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter dan terdapat empat tersepit dalam kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulfadli, mangsa yang maut dan cedera parah telah dihantar ke hospital oleh ambulans. – UTUSAN