IPOH: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima dua tiub spesimen darah milik pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, dan Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak pada 18 Disember 2023.
Saksi pendakwaan ke-32, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan, 38, berkata, turut diterima ialah dua bekas berisi spesimen air kencing milik suspek.
“Kesemua spesimen tersebut kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya pada keesokan hari untuk ujian toksikologi,” katanya ketika membacakan penyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di sini hari ini.
Terdahulu, saksi yang juga pegawai penyiasat kanan di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memaklumkan, beliau telah menerima rakaman video menunjukkan sebuah motosikal diekori oleh kereta Perodua Ativa berwarna putih.
Katanya, rakaman video yang diterima melalui Whatsapp itu merupakan rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) sebuah rumah di Gerbang Meru Indah, Ipoh.
“Saya juga ada menerima rakaman video daripada seorang lelaki yang diekstrak daripada CCTV miliknya yang menunjukkan bumbung sebuah kenderaan melalui jalan dan selepas itu menunjukkan orang ramai berkerumun.
“Selain itu, saya juga menerima maklumat daripada Inspektor Jong Pit Chao mengenai dua rakaman dashcam kenderaan semasa kejadian dan saya arahkan beliau untuk menyerahkan rakaman tersebut melalui Whatsapp.
“Setelah saya teliti rakaman video berkenaan, saya juga mengarahkan beliau untuk mengesan dan memanggil pemilik rakaman video berkenaan,” katanya.
Chua memberitahu, beliau mengambil alih siasatan kes itu daripada Pit Chao yang merupakan pegawai penyiasat trafik IPD Ipoh pada 16 Disember 2023 selepas menerima arahan Ketua Polis Daerah Ipoh melalui Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh, Deputi Superintenden Mohd. Zulkefli Mohd. Mukhtar.
Katanya, arahan untuk Mohd. Nazri dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diterima beliau pada sebelah malam 17 Disember 2023 selepas kertas siasatan dikemukakan untuk taklimat awal kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Pada hari berikutnya pada 18 Disember 2023, selepas arahan tuduh diterima, saya menguruskan untuk proses pertuduhan di mahkamah. Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret 2. Sebelum dituduh, saya telah arahkan jurugambar untuk mengambil gambar dan cap jari.
“Pada hari sama sebelah petang, saya telah menerima arahan untuk kertas siasatan diambil alih oleh Asisten Superintenden S. Dasarathan. Walau bagaimanapun, saya masih diminta untuk membantu pegawai penyiasat tersebut,” katanya.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala pihak pembelaan dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan bersambung pada Khamis depan. – UTUSAN