SEREMBAN: Kegiatan dua suspek yang dipercayai aktif melakukan samun premis kafe dan pusat dobi di sekitar Negeri Sembilan tumpas apabila mereka ditahan polis di kawasan Taman Seri Serdang dekat Seri Kembangan, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 30-an dan 40-an itu ditahan pada pukul 1.30 pagi dan 4 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
“Tangkapan dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang pengurus premis kafe pada pukul 11.30 pagi, 2 Januari lalu yang membuat aduan premisnya telah dipecah masuk dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat barang hilang.
“Semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah memecah masuk premis melalui pintu bahagian belakang dan menggeledah ruang kaunter,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad Hatta berkata, hasil siasatan di tempat kejadian polis memperoleh maklunat bahawa suspek telah telah menggunkan kenderaan jenis Proton Exora warna merah dengan nombor pendaftaran palsu.
Jelas Mohamad Hatta, dengan penahanan dua suspek ini pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak 19 kes jenayah pecah premis, dobi, samun dan curi kenderaan di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak yang melibatkan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM117,000.
“Ketika tangkapan dilakukan, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Exora milik suspek dan sebuah Perodua Ativa yang dilaporkan hilang di Hutan Melintang, Perak,” katanya.
Tambah beliau, polis turut merampas beberapa peralatan pecah rumah, barangan milik mangsa serta pelbagai jenis syiling token kedai dobi layan dobi.-UTUSAN