JEMPOL: Dua orang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Kilometer 10, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Sharifuddin Haziq Mohamad Sollehhuddin, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dan Muhammad Irfan Muhamad Musa, pelajar SMK Seri Jempol yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, penunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dalam perjalanan dari arah Bahau menghala ke Kemayan manakala penunggang Yamaha Lagenda dari arah bertentangan.
“Berdasarkan siasatan awal, semasa motosikal jenis Yamaha Y16ZR bergerak mendaki bukit, motosikal tersebut dipercayai telah dilanggar oleh sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertetangan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang yang beralamat di Felda Gugusan Raja Alias mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN