PETALING JAYA: Gara-gara melarikan cuba pek minuman bernilai RM631.48 dari sebuah pasar raya di Hulu Bernam, Sabtu lalu, dia lelaki yang merupakan rakan ditahan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 5.20 petang di sebuah premis kedai serbaneka.
“Suspek yang berusia lingkungan 30-an dikesan cuba meninggalkan kedai tanpa membuat bayaran di kaunter.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah mengambil 14 bungkus Nescafe 300 gram dan 12 bungkus Milo 1 kilogram sebelum ditahan oleh pekerja premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Asri, barangan yang cuba dicuri itu dianggarkan bernilai RM631.48.
“Pengurus premis terbabit kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Hulu Bernam, yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
“Semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah dan jenayah lain,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula 21 Januari hingga 23 Januari bagi membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada 23 Januari di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda. Untuk kesalahan kali kedua, hukuman penjara, denda, atau sebatan boleh dikenakan,” katanya. – UTUSAN