ALOR SETAR: Dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.51 pagi tadi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A atau jenis kekal.
“Operasi pemadaman dilakukan dan api berjaya dikawal pada pukul 7.11 pagi dan pada awalnya dimaklumkan terdapat tiga mangsa disyaki terlibat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun hanya menemui dua mangsa berusia 20-an dan 60-an dalam keadaan rentung di dalam rumah sementara seorang lagi mangsa dikatakan berjaya menyelamatkan diri. – UTUSAN