KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua individu terlibat dalam insiden simbah cat membabitkan premis serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) di sini, pada 21 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan pihak polis mendapati dua individu dipercayai lelaki menunggang motosikal terbabit dalam kes berkenaan.
Katanya, siasatan turut mendapati premis tersebut telah tutup sejak 10 Januari lalu dan kejadian dipercayai berlaku pada 12.30 tengah malam, Selasa lalu.
“Ketika kejadian, terdapat ada pekerja di kedai sebelah yang mendengar bunyi dan melihat simbahan cat.
“Justeru, kita sedang mengesan dua pelaku terbabit,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Rusdi turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan.
Media kelmarin melaporkan, tiga saksi sudah dirakam percakapan setakat ini susulan insiden simbah cat di kedai serbaneka di UM di sini yang terpalit kontroversi kerana menjual sandwic ‘ham & cheese’.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh dari semua sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Ku Mashariman berkata, pihaknya sedang menunggu rakaman CCTV lain di sekitar kawasan dalam UM bagi memudahkan siasatan untuk mengenalpasti suspek.
Terdahulu, polis mengesahkan kejadian sekitar pada 12.50 tengah malam selepas pengadu yang juga seorang anggota polis bantuan di UM dimaklumkan oleh pekerja kedai serbaneka berkenaan. – UTUSAN