Dua guru tadika didakwa abai anak asuhan hingga mati lemas - Utusan Malaysia

Dua guru tadika didakwa abai anak asuhan hingga mati lemas

ESTHER Christina Samuel Ponniah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, dua tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, dua tahun lalu.

Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 60, dan M. Manisah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan baginya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 10.07 pagi, 17 April 2023.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gary Xavier dan Jason Anthony.

Terdahulu, Mohamad Nazreen mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh namun Gary memohon agar jumlah jaminan minimum RM2,500 dibenarkan kepada setiap anak guamnya.

Katanya, Esther Christina yang bakal bersara minggu hadapan mengalami masalah kesihatan dan masih mendapat rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) manakala Manisah yang sedang meneruskan pengajian sarjana pula akan melangsungkan pernikahan pada bulan hadapan.

“Wang jaminan sebanyak RM15,000 terlalu besar dan tidak munasabah seolah-olah seperti hukuman kepada mereka dan keluarga. Saya mohon jumlah jaminan minimum sebanyak RM2,500 dibenarkan terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 8 April depan.

Terdahulu, sebelum prosiding berlangsung, Azizah membenarkan permohonan Gary agar Esther Christina dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan sama dalam prosiding di Mahkamah Sesyen pada 30 Januari 2024 sebelum pertuduhan secara bersama dibacakan pada hari ini.

Sebelum ini pada 12 Julai 2023, Esther Christina juga didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan sama dan dalam prosiding di hadapan Majistret Siti Nora Sharif, beliau telah memerintahkan DNAA ke atas tertuduh sebelum kes berkenaan dituduh semula di Mahkamah Sesyen.

Media pada 23 April 2023 melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki menghembuskan nafas terakhir setelah tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.

Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya